ZHULIAN Labur RM18 Juta Besarkan Ibu Pejabat
Tuesday April 21, 2009

By Bernama

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Zhulian Corp Bhd akan melabur sejumlah RM18 juta tahun ini bagi membesarkan ibu pejabat antarabangsanya di Kawasan Perindustrian Bayan Lepas, Pulau Pinang, sebagai sebahagian daripada inisiatifnya untuk memacu pertumbuhannya pada masa hadapan.

Dalam satu kenyataan di sini Selasa, Zhulian berkata rancangan pembesaran itu melibatkan pembinaan gudang yang lebih besar dan sebuah kilang pengeluaran baharu. Projek itu dijangka siap menjelang akhir 2010, katanya. Zhulian berkata ia mempunyai tiga kilang di Bayan Lepas dan satu daripadanya telahpun memulakan operasi Julai lepas.

"Kini 50 peratus daripada kemudahan baharu berharga RM40 juta, khusus bagi pengeluaran produk makanan dan minuman serta makanan tembahan berkhasiat itu telahpun digunakan dan ia mempunyai kemampuan menampung pertumbuhan syarikat bagi lima tahun akan datang," jelasnya.

Kata Zhulian ia merancang untuk melancarkan satu siri produk tahun ini bagi mencetuskan keseronokan dan minat yang berterusan di kalangan pengguna. "Rangkaian produk baru yang akan dilancarkan pada pertengahan tahun di bawah anak syarikatnya, Amazing Vestrax Sdn Bhd itu ialah produk sanitari 'Wanisa', dan adunan ekstrak buah-buahan dan sayuran berwarna warni, ISO.7," katanya.

Sementara itu, pengarah urusan kumpulan, Danny Teoh Meng Keat, berkata pendapatan bagi suku pertama berakhir 28 Feb, 2009 bertambah sebanyak 16 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Bagi tahun kewangan berakhir 30 Nov, 2008, keuntungan sebelum cukai Zhulian meningkat kepada RM94.993 juta daripada RM74.348 juta sebelumnya.

Teoh berkata syarikat itu menjangkakan tempoh yang mencabar dan persaingan yang sengit bagi industri perniagaan jualan langsung akibat kelembapan ekonomi sekarang. Bagaimanapun, Zhulian, katanya, tetap optimis dan akan berwaspada terhadap situasi yang tidak dijangkakan dengan mengambil langkah-langkah persediaan bagi satu lagi tempoh yang mencabar di hadapan.

"Memandangkan rangkaian pengedaran kami yang berkembang teguh dan produktiviti pengedar teras kami yang meningkat serta kegiatan promosi jualan yang lebih agresif, kami sudah bersiap sedia untuk memacu perniagaan kami ke tahap baharu yang lebih menyeronokkan pada masa akan datang," tegasnya.

Pada masa ini, Zhulian mempunyai lebih 400,000 pengedar di seluruh Malaysia, Thailand, Indonesia dan Singapura.

-- BERNAMA

 

   Back